20110531

Cacat

Aku suka kecacatan yang ada pada diri aku. Kerana kecacatan itu membawa aku ke platform imaginasi yang lain. Aku melihat kanan sebagai kiri, dan kiri sebagai kanan. Aku melihat halusinasi itu sesuatu yang benar, dan yang benar itu halusinasi sehingga aku sukar membezakan realiti dan ilusi. 

Aku sukar menumpukan perhatian pada percakapan, satu hala mahu pun dua hala. Jadi, aku harus mengamati setiap bait patah katanya dengan mata fikiran bermain visual percakapannya, dalam erti lain aku hanya mampu memahami dalam bentuk visual, selagi aku tidak berjaya menangkap jejak pergerakan plot percakapannya, aku hanya melihat aksara menari yang tak sepatah pun aku fahami.

Aku juga tempang kerana tulang kaki yang sedikit bengkok, tetapi tak terlihat kerana sudah dibiasakan. Dan otak aku kedua-duanya berfungsi dengan berat, dengan kedua-dua belah tangan boleh meniru antara satu sama lain. Tetapi, aku kurangnya dari segi percakapan. Aku gagap. Gagap yang aku cuba tak perlihatkan.

Cuti, tetap suatu pekerjaan untuk aku, kerana aku punya kerja yang perlu diharungi. Berjalan-jalan di denai larian di taman bersama Rocky yang setia dengan aku dua tahun sudah. Sepatutnya tajuk cacat itu diganti dengan perkataan kelebihan. Kerana, kecacatan itu memberi satu bahagian yang lain yang mereka yang normal sukar masuki.