Aku dibesarkan dengan persekitaran psikologi yang tidak sihat, yang turut menjangkiti aku menjadi sakit di dalam dunia yang sepatutnya hanya lah sebuah ceritera imaginasi yang dititipkan oleh para normalis. Tiada masa kecil untuk aku di mana aku dilayan sebagai seorang dewasa walau umur belum menjangkau baligh.
Kudrat yang dikerah sebelum menjangkau baligh, yang akhirnya membentuk urat-urat berdawai besi turut menyadur lohong yang lena tidur dalam isi kepala melihat kegilaan yang sudah menjadi terlalu normal dalam kepala. Sedang kebanyakan menyadur cerita ilusi untuk ditampakkan realitinya, aku sadurkan dengan realiti yang aku hiris-hiriskan menjadi sebuah ceritera panjang yang menjadi ruang pelarian.
Ruangan untuk melepas diri dari realiti sebenar, yang menyebabkan aku melayang di sini, yang punya kawan di sini, kerana yang di sana yang meruapkan udara beracun yang membunuh hati. Maka, aku berlepasan terbang mencari makna jiwa-jiwa yang turut memuntahkan ilusi dalam emansipasi realiti. Terus-terusan aku berjalan melihat ragam minda yang berbentuk labirin.